Profesor Datuk Dr. Sukiman Sarmani, UKM
SmSn (UKM) 1973, PhD (University of Reading) UK 1976, FMIC, FASc
Pakar Penyelidik Tenaga Atom & Nuklear
Program Sains Nuklear
Universiti Kebangsaan Malaysia
Email: sukiman@ukm.my
 
 
Selepas digegarkan dengan tragedi gempa bumi dan tsunami yang mengorbankan ribuan nyawa baru-baru ini, Jepun berdepan dengan masalah baru iaitu kerosakan loji nuklear diFukushima. Apa yang lebih membimbangkan ialah kesan bahan radioaktif yang terbebas apabila berlaku beberapa siri letupan di reaktor nuklear terbabit. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang situasi dan insiden sebenar yang berlaku, MajalahSains.Com telah menemuramah pakar Sains Nuklear dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Sukiman Sarmaniuntuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang perkara ini.

 
MajalahSains.Com: Boleh Prof. jelaskan apa punca sebenar krisis nuklear terkini di Jepun yang menggemparkan dunia selepas berlakunya tragedi gempa bumi baru-baru ini di sana?
 
 
Prof. Sukiman: Punca sebenarnya ialah tsunami selepas berlakunya gempa bumi di dasar laut. Rentetan dari kejadian tsunami berlaku pula kejadian yang tidak diduga melibatkan reaktor nuklear sehingga menyebabkan letupan gas hidrogen dalam bangunan reaktor. Kesemua sistem pendinginan reaktor menggunakan kuasa elektrik. Apabila berlaku gempa bumi, operasi reaktor akan terhenti (shut-down) secara automatik dan bekalan elektrik terputus.  Bekalan elektrik kecemasan dijana oleh generator diesel tetapi setelah dilanda tsunami generator juga mengalami kerosakan dan bekalan elektrik terputus sama sekali. Sementara menunggu bekalan elektrik bergerak (mobile electrical supply) tiba bahan api reaktor terus memanas kerana tidak disejukkan.  Kegagalan penyejukan teras reaktor yang mengandungi bahanapi Uranium tersinar mengakibatkan peningkatan suhu yang berterusan sehingga berlaku pencairan separa  (partial meltdown) dan peningkatan tekanan terus berlaku dalam reaktor. Apabila stim dilepaskan untuk menurunkan tekanan dari 800 kPa ke 400kPa gas hidrogen juga terbebas dan menyebabkan bumbung bangunan reaktor meletup.

Nasib yang sama menimpa reaktor Daiichi 1, 2 dan 3. Kebakaran pada reaktor Daiichi 4berlaku disebabkan oleh tempat simpanan bahanapi uranium tersinar/terpakai tidak disejukan dan berlaku pemanasan. Daiichi 4 masih belum berjaya disejukkan sepenuhnya kerana suhu kolam simpanan bahanapi terpakai masih tinggi iaitu 84’ C  sedangkan dalam operasi biasa perlu dikekalkan pada suhu 25 'C.
 
 
 
MajalahSains.Com: Heboh dari SMS, Twitter, Facebook dan khabar-khabar yang tidak dapat dipastikan kesahihannya tentang bahaya radiasi dari kebocoran reaktor nuklear di Fukushima terutamanya selepas beberapa siri letupan berlaku di reaktor terbabit. Dapatkah Prof. jelaskan situasi yang sedang berlaku dari segi keselamatan dan bahaya kesan radiasi bahan nuklear?
 
 
Prof. Sukiman: Tahap Kecemasan sekarang ialah Tahap 4 berasaskan kepada International Nuclear and Radiological Event Scale (INES). Tahap 4 bermakna berlaku pelepasan bahan radioaktif setempat dan ia tidak mengakibatkan pencemaran antara negara atau merebaknya ke kawasan yang luas. Jika berlaku pencairan menyeluruh (total meltdown) seperti tragediChernobyl (1986) itu lebih berbahaya. Tetapi situasi ini tidak berulang kerana rekabentukBoiling Water reaktor Fukushima berbeza dan lebih baik berbanding reaktor Chernobyl. InsidenThree Mile Island (TMI) yang melibatkan masalah Pressurised Water Reactor (PWR) hanya mengakibatkan pencemaran radioaktif setempat. Insiden Fukushima boleh diibaratkan seperti ulangan peristiwa Three Mile Island.


MajalahSains.Com:   Teknologi nuklear sentiasa mendapat imej negatif di kalangan masyarakat dari segi aspek keselamatan dan moral. Apa pandangan Prof. tentang isu ini?
 
 
Prof. Sukiman: Penggunaan tenaga nuklear lahir pada tahun 1939 ketika dunia di ambangPerang Dunia Ke-2. Teknologi nuklear telah digunakan oleh kuasa-kuasa politik dunia sebagai senjata dalam peperangan. Apabila masyarakat menyaksikan kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki akibat penguguran bom atom oleh pasukan tentera Amerika di kedua-dua bandaraya tersebut, maka stigma keburukan tenaga nuklear kekal sehingga kini. Sebenarnya banyak kebaikan tenaga nuklear yang telah digunakan dalam bidang perubatan, perindustrian, pertanian di samping penjanaan tenaga elektrik. Apa yang perlu dilakukan ialah penjelasan sejelas-jelasnya kepada masyarakat awam tentang apa itu teknologi nuklear. Seperti kata pepatah ’tak kenal maka tak cinta’. Justeru itu apabila kita memahami dan mengenali teknologi nuklear maka ketakutan masyarakat terhadap nuklear akan beransur-ansur hilang.
 
 
MajalahSains.Com:   Menurut kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang saya petik dari akhbar, beliau menegaskan bahawa Malaysia tetap akan meneruskan program tenaga nuklear yang dijangka akan dimulakan tidak lama lagi. Komen Prof.?
 
 
Prof. Sukiman:Saya bersetuju dan menyokong program ini kerana kenyataan itu berasaskan kepada fakta-fakta yang berasas.. Kabinet sudah bersetuju dengan Dasar Nuklear Negara dan telah dilancarkan pada Jun 2010. Dalam dasar tersebut terkandung perancangan penggunaan teknologi nuklear dalam sektor tenaga dan bukan tenaga. Selepas insiden Fukushima aturan keselamatan antarabangsa akan semakin diperketatkan dan Malaysia perlu memenuhi keperluan dan aturan yang ditetapkan oleh Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa (IAEA).


MajalahSains.Com:   Bila berbicara tentang nuklear, ramai yang mengaitkan bahaya sumber tenaga ini dengan tragedi yang berlaku di Hiroshima  dan Nagasaki, tragedi loji nuklear Chernobyl, Ukraine 1986, dan juga bencana di Three Mile Island, Amerika Syarikat 1979. Bagaimana untuk menjelaskan perkara ini bagi menghapuskan stigma (ketakutan) masyarakat tentang isu-isu nuklear ?


Pertamanya kita lihat dari segi teknologi. Reaktor Fukushima adalah reaktor generasi lama seperti yang digunakan oleh loji Three Mile Island. Reaktor Chernobyl pula adalah teknologi yang ketinggalan jauh dari teknologi Barat pada masa itu. Loji Nuklear Fukushima I yang menghadapi masalah pada masa ini mengandungi enam buah reaktor.

 
Unit
Kuasa MWatt
Tahun Pentauliahan
Daiichi1
460
1971
 Daiichi 2
784
1974
Daiichi3
784
1976
 Daiichi 4
784
1978
 Daiichi 5
784
1978
 Daiichi 6
1100
1979

Jadual 1
           
Kesemua reaktor tersebut dirancang pada tahun 1950an selepas Perang Dunia Ke-2 kerana pembangunan loji nuklear mengambil masa 20 tahun dari perancangan hingga ke pentauliahan.

Loji Nuklear Fukushima II pula yang terletak bersebelahan mengandungi empat unit reaktor, dibina dan ditauliahkan 10 tahun kemudian dan tidak mengalami masalah. Sementara reaktor generasi serupa di Loji Nuklear Tokai tidak menghadapi masalah kerana tidak dilanda tsunami.Loji Nuklear Onagawa di sebelah utara terdiri dari tiga unit reaktor baru juga tidak menghadapi masalah.Berasaskan kepada fakta tersebut, bencana yang menimpa Fukushima ialah akibat tsunami dan faktor rekabentuk reaktor nuklear jenis lama.

 
MajalahSains.Com:   Pada pandangan Prof. adakah Malaysia mampu membangunkan sumber tenaga nuklearnya sendiri berdasarkan kepakaran, teknologi serta kemudahan yang sedia ada pada masa kini bagi mengimbangi sumber tenaga konvensional yang semakin berkurangan?


Prof. Sukiman: Tentu sekali kita mampu kerana prasarana asas sudah ada dan sementara menanti pentauliahan reaktor pada 2021 kita boleh melatih lebih ramai lagi tenaga pakar yang diperlukan. Reaktor yang akan kita bina adalah reaktor Generasi 3++ iaitu 50 tahun lebih maju daripada Reaktor Fukushima. Reaktor Fukushima jenis Boiling Water Reactor dirancang selepas Perang Dunia Kedua dan ditauliahkan 20 tahun kemudian antara 1971-1979.

Malaysia perlu mempelbagaikan sumber tenaga bagi menjamin Energy Security untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Sumber tenaga yang kita ada ialah arang batu+gas+hidro. Sumber hidro makin terbatas manakala harga arang batu dan gas semakin meningkat. Malaysia juga komited untuk mengurangi pembebasan karbon dioksida sebanyak 40%. Oleh kerana tenaga solar dan tenaga angin tidak dapat menyelamatkan keadaan menjelang 2020 maka mahu tidak mahu Malaysia perlu memilih tenaga nuklear.

Jika kerajaan bersetuju menambah subsidi tenaga sementara rakyat sanggup membayar kos elektrik pada kadar lebih tinggi, maka kita boleh kekalkan status quo untuk tempoh 10 tahun.

Sumber arang batu yang ada sekarang ini hanya dari Australia kerana Indonesia dan China sudah tidak lagi mengeksport arang batu. Kita terlalu bergantung kepada satu negara sumber sahaja dan dari segi politik-ekonomi ini amat berbahaya. 
 
 
MajalahSains.Com:  Terima kasih Prof. kerana sudi meluangkan masa untuk ditemuramah.

 
Prof. Sukiman: Sama-sama. Mudah-mudahan temubual ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Sumber :